Gamelan
Wednesday, 7 November 2018
LAGU
NOTASI LAGU "TIMANG BURUNG"
Lagu Timang Burung merupakan lagu asas yang di ajar kepada pemain dengan menggunakan konsep asas “Generis Expression”. Biasanya pemain akan mula bermain dengan belajar mengetuk alat gamelan berdasarkan nota asas tersebut,
| - 5 5 2 | 3 2 3 5 | - 3 5 6 | 5 3 2 5 |
| - 5 5 2 | 3 2 3 5 | - 3 5 6 | 5 3 2 3 |
| - 3 2 1 | 1 2 3 1 | 3 2 1 1 | 5 6 i 2 |
| - 2 2 3 | 6 5 3 2 | 3 2 1 1 | 5 5 3 5 |
LAGU "TIMANG BURUNG"
Lagu Timang Burung[1] ini sangat popular dan boleh dikatakan lagu wajib di mainkan di upacara-upacara perkahwinan dan persembahan di sesebuah acara.
Mari ku timang , mari ku dendang
Hati rindu pada cik abang
Siang malam terbayang-bayang
Timang burung,
Anak raja turun ke taman
Timang-timang burung terebang
Hinggap mari di dahan kayu
Wajah tuan terkenang-kenang
Tidur tak lena, makan tak lalu
Timang burung
Ala sayang si lambang sari
Anak merbuk, anak merpati
Turun mari di atas dahan
Abang seorang kekasih hati
Tiada yang lain darimu tuan
Timang burung,
Anak raja turun ke taman
Anak tiong terbang sekawan
Turun mari dahan berduri
Di angin lalu ku kirim pesan
Rindu ku tanggung seorang diri
Timang burung,
Ala sayang si lambang sari
Burung nuri terbang tinggi
Turun mari di atas dahan
Mari-mari kekasih hati
Aku rindu padamu tuan
Timang burung
Anak raja turun ke taman
PERBEZAAN GAMELAN MELAYU DAN GAMELAN JAWA
Perkataan ‘Gamel’ membawa maksud untuk tujuan memukul atau tukul tetapi masyarakat Jawa kemudiannya menggunakan perkataan tersebut bermaksud bermain alat muzik. Walaubagaimanpun, di Malaysia gamelan dirujuk sebagai satu kesatuan yang terdiri daripada beberapa instrumen yang di palu dan kadang-kadang ia boleh diiringi dengan alat muzik dari jenis tali atau alat tiup. Merujuk kepada Ahmad Farid Abdul Jalal dalam penulisannya yang berjudul “Joget Pahang ~ Gamelan Melayu” menyatakan terdapat perbezaan diantara Gamelan Melayu dengan Gamelan Jawa yang dinyatakan seperti berikut :
KATEGORI
|
GAMELAN MELAYU
|
GAMELAN JAWA
|
Asal - Usul
|
Gamelan Melayu dikatakan berasal dari kerajaan Srivijaya pada abad ke – 7 dan ke – 13 yang kemudiannya berkembang ke Kesultanan Diraja Riau. Pada tahun abad ke – 19, gamelan telah di bawa ke Pahang dan Gamelan Melayu merupakan antara alat muzik yang tertua yang dijumpai di Semenanjung Malaysia.
|
Gamelan Jawa dikatakan kesinambungan muzik yang berterusan yang ditemui pada zaman Majapahit. Bukti awal berkenaan alat muzik gamelan adalah berdasarkan kepada satu siri batu ukiran yang di Candi Borobodur di Jawa Tengah sekitar 800 tahun sebelum Masihi.
|
Fungsi
|
Muzik gamelan wujud terutamanya di kalangan kelas pemerintah dan telah diwariskan kepada Istana Penyengat, Riau, ke Istana Pahang dan kemudiannya ke Istana Terengganu. Peranan asal gamelan ini adalah sebagai iringan kepada tarian yang dikenali sebagai Joget Pahang. Ia biasanya dilakukan untuk tetamu diraja pada majlis-majlis khas.
|
Muzik gamelan berfungsi sebagai muzik iringan kepada persembahan Jawa yang popular seperti wayang kulit, barongan dan kuda kepang.
Gamelan dimainkan sebagai muzik rakyat untuk keseronokan awam di ruang terbuka dan dilakukan semasa acara-acara seperti kelahiran, perkahwinan, perayaan menuai dan sebagainya
|
Alat Muzik
|
Alat muzik Gamelan Melayu terdiri daripada tujuh instrumen utama seperti gendang, keromong, gambang, saron demong, saron barung dan sepasang gong agung dan gong suwukan.
|
Terdapat lebih daripada 19 hingga 20 jenis alat muzik yang digunakan dalam sesebuah orkestra. Sebahagian alat tersebut menyerupai alat Gamelan Melayu dan selebihnya adalah termasuk slentem, kempul, ketuk, gender, celempung, suling dan rebab.
|
Melodi/Tona
|
“Anhemitonic Pentatonic” skala (slendro)
|
Tona Slendro dan pelog
|
Pengaruh Agama
|
Gerakan tarian Gamelan Melayu dipengaruhi perbuatan amalan sewaktu mengerjakan ibadah haji.
|
Muzik dan tarian Gamelan Jawa mempunyai dipengaruhi oleh dengan Wali Songo (sekumpulan ahli agama menjadi figura kepada masyarakat Indonesia). 9 jenis tona pelog (1,2,3,4,5,6,7, 7-bawah dan 1 atas) merupakan signifikan terhadap 9 orang Wali Songo yang mana menggunakan gamelan sebagai alat dakwah untuk menyebar agama Islam.
|
Tradisi Persembahan
|
Gamelan Melayu bermula dengan sekumpulan orang yang memperkenalkan penarinya sekali. Sebagai contoh lagu ayak-ayak mengiringi bersama tarian pembukaan dan kemudian lagu Lolo dan Lonang. Selepas pembukaan lengkap dengan penari, jalan cerita yang spesifik dan begitu juga dengan tona instrumen akan di mainkan jika perlu. Gamelan Melayu menggunakan “prop” sebagai tambahan yang biasa digunakan dalam persembahan.
|
Persembahan dimulakan dengan upacara sajian. Ketua gamelan akan mengetuai upacara sembah dengan membakar kemenyan, membaca jampi dan mengunyah sireh daripada dulang sajian. Di akhir upacara sembah ini, dulang akan diletakkan di belakang skrin pentas dan persembahan di jalankan dengan tarian serimpi, kupu-kupu atau lilin. Secara umumnya, tarian tersebut disediakan sebagai selingan kepada persembahan utama Ludruk atau Ketoprak. Selingan tersebut termasuklah nyanyian, silat, komedi dan juga alat instrumen muzik gamelan.
|
INSTRUMEN
GAMBANG
Gambang terdiri dari sejumlah kepingan kayu keras yang diletakkan di atas kotak kayu yang berfungi sebagai penyalun bunyi. Kepingan-kepingan kayu tersebut dipukul dengan sepasang pemukul kayu yang berbalut. Setiap bilahan kayu tersebut dipukul kepada pic-pic tertentu. Alat muzik ini merupakan salah satu alat utama yang dimainkan dalam ensemble gamelan.
SARON
Gambang terdiri dari sejumlah kepingan kayu keras yang diletakkan di atas kotak kayu yang berfungi sebagai penyalun bunyi. Kepingan-kepingan kayu tersebut dipukul dengan sepasang pemukul kayu yang berbalut. Setiap bilahan kayu tersebut dipukul kepada pic-pic tertentu. Alat muzik ini merupakan salah satu alat utama yang dimainkan dalam ensemble gamelan.
SARON
Sarong Demung
Sarong Barong
Sarong Pekin
Saron terdiri daripada tiga jenis iaitu saron demong, saron barung dan saron perkin. Setiap saron dapat dibezakan dengan saiz dan juga bunyi yang berbeza. Kumpulan saron ini terdiri daripada 6 bilah gangsa yang di susun dan dipukul menggunakan penukul yang dicipta berdasarkan bunyi pic – pic tertentu. Saron Demung mempunyai saiz lebih besar berbanding saron barung dan Saron Peking. Manakala Saron Peking mempunyai saiz yang lebih kecil. 6 bilah gangsa yang terdapat pada saron disusun mengikut bunyi 1, 2, 3, 5, 6 dan
KENONG
Kenong sejenis alat yang diperbuat daripada gangsa dan berfungsi sebagai alat kolotomik dalam muzik gamelan. Mempunyai pic yang tetap iaitu ‘fixed –pitch’ yang diasaskan kepada ‘western tempered pitch’. Terdiri daripada 5 biji gong bersaiz sederhana yang disusun mengikut bunyi 1, 2, 3, 5, 6 (Bunyi i diganti dengan 1). Memandangkan alat Kenong diletakkan ditempat yang lebih tinggi maka pemain memerlukan tempat duduk untuk yang sama tinggi dengan alat ketika memainkan instrumen Kenong ini.
GENDANG
Gendang merupakan salah satu alat muzik tradisional yang sangat signifikan dalam masyarakat melayu. Gendang merupakan alat muzik yang terpenting dalam ensembel muzik tradisional Melayu seperti Wayang Kulit, Menora dan Gamelan. Permukaannya diperbuat daripada kulit kambing atau lembu yang diregangkan menggunakan rotan. Baluhnya diperbuat daripada jenis kayu keras seperti kayu nangka atau merbau.
SEJARAH
Sejarah menunjukkan bahawa Gamelan Melayu mula diperkenalkan pada tahun 1811 apabila sekumpulan penari dan pemuzik bersama instrumen muzik gamelan di bawa dari istana Riau-Lingga untuk menyerikan majlis perkahwinan diraja iaitu Wan Esah adinda kepada pemerintah Pahang. Bendahara Tun Ali (1806 – 1857) dengan Tengku Hussain putera sulung kepada sultan Riau-Lingga (Sultan Mahmud Syah III (1761 – 1812) yang berlangsung di Pekan, Pahang. Seni dan budaya persembahan Gamelan Melayu ini terus berkembang di negeri Pahang dan dikenali sebagai “Joget Pahang” dan perkembangan muzik gamelan turut digambarkan dalam penulisan Frank Swettenham (pegawai British) yang berjudul “A Malay Nautch” yang menjadi tetamu istana Sultan Ahmad al-Muadzam Shah (1882-1914) pada tahun 1875 di Pekan, Pahang sebagai sesuatu yang unik dan sangat berharga yang jarang dilihat oleh orang Eropah.
Menerusi persembahan di upacara perkahwinan, kesenian gamelan ini terus berkembang di negeri Terengganu sebagai hiburan eksklusif bagi keluarga diraja. Di mana Joget Pahang dipersembahkan di majlis perkahwinan Tengku Long, puteri Sultan Ahmad dengan Sultan Zainal Abidin III (1881 – 1918) dari Terengganu pada 1885 dan Baginda telah tertarik kepada seni gamelan dan meneruskan kesenian gamelan Melayu ini di istana Terengganu. Tengku Ampuan Mariam, puteri Sultan Ahmad telah berkahwin dengan Tengku Sulaiman (1875 – 1942), putera Sultan Zainal Abidin III dan bersama-sama pasangan diraja Terengganu ini telah mengangkat seni gamelan Melayu ke zaman kegemilangannya (1914 – 1942). Malangnya seni dan budaya Gamelan Melayu lenyap seketika apabila berlaku Perang Dunia II (1941) dan penaungnya Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada tahun 1942 dan sejak ketika itu, set gamelan telah tersimpan sepi di Istana Kolam yang merupakan kediaman Tengku Ampuan Mariam.
Tan Sri Dato’ Dr. Hj. Mubin Sheppard merupakan Pengarah Muzium Negara (1958 – 1963) telah menemui instrumen gamelan apabila beliau menjalankan kajian seni ukiran Melayu di Istana Kolam dan telah tercetus idea untuk menghidupkan semula seni gamelan tersebut. Setelah diperkenan izin daripada Tengku Ampuan Mariam, beliau berusaha menghimpunkan semula pemuzik-pemuzik lama seperti Encik Muhammad bin Ismail (Pak Mat) seorang pemuzik istana pada suatu ketika dahulu dan penubuhan kumpulan penari yang di beri tunjuk ajar oleh Puan Adnan binti Abdullah (Mak Nang) yang merupakan bekas penari istana. Kumpulan gamelan baru yang ditubuhkan itu, dikenali sebagai Orkes Gamelan Diraja Terengganu dan telah membuat kemunculan pertamanya pada tahun 1969 di Pesta Muzik dan Drama Asia Tenggara dan Temasya (1970) yang berlangsung di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Demikian sejarah menceritakan segalanya dan pada tahun 1973 set gamelan di Istana Kolam telah diserahkan kepada kerajaan Pahang dan kini dipamerkan di Muzium Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang. Di sebalik instrumen yang dipamerkan itu tidak ternilai harga kerana ia merupakan seni warisan yang terpendam yang perlu terus dihayati dan keindahannya untuk generasi akan datang.
Saturday, 27 October 2018
Laman Utama
Pada tahun 1811, sebuah persembahan tari penuh gemalai, diiringi orkestra perunggu telah dibawa dari istana a Riau-Lingga bagi menyerikan satu majlis perkahwinan diraja yang berlangsung di Pekan, Pahang. Sejak itu, seni persembahan ini, yang kini dikenali sebagai Gamelan Melayu, berkembang menjadi hiburan eksklusif untuk keluarga diraja serta tetamu istana di Pahang dan kemudiannya di Terengganu.
Dari tahun 1914 sehingga 1942, usaha dan kecintaan pasangan diraja Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1875 - 1942) bersama permaisuri Tengku Ampuan Mariam telah mengangkat seni gamelan Melayu ke zaman kegemilangannya. Namun pemergian sebahagian tokoh-tokoh gamelan ini, serta Perang Dunia ke-2 menyebabkan kesenian ini hampir lenyap, menjadikannya satu warisan terpendam.
24 tahun kemudian, sewaktu Mubin Sheppard sedang mengkaji seni ukiran kayu di Istana Kolam, beliau terpandang akan instrumen gamelan yang telah sekian lama tersimpan sepi. Penemuan pada tahun 1966 ini lantas mencetuskan usaha menghimpunkan semula pemuzik-pemuzik lama yang diketuai oleh Pak Mat, serta penubuhan kumpulan penari baru di bawah tunjuk ajar Mak Nang, yang merupakan primadona gamelan di istana suatu masa dahulu. Maka, gamelan Melayu dihidupkan semula dan bermula dari sebuah persembahan aluan di Istana Kolam, kumpulan yang dikenali sebagai Orkes Gamelan Diraja Terengganu ini kemudian dibawa ke Universiti Malaya, Kuala Lumpur untuk membuat persembahan buat julung-julung kalinya di khalayak umum.
Kini gamelan Melayu telah membuka tirainya kepada dunia. Semoga keindahan dan keasyikan seni warisan ini dapat dinikmati, dilindungi dan diperkembangkan oleh generasi seterusnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
-
GAMBANG Gambang terdiri dari sejumlah kepingan kayu keras yang diletakkan di atas kotak kayu yang berfungi sebagai penyalun bunyi. Kepi...
-
NOTASI LAGU "TIMANG BURUNG" Lagu Timang Burung merupakan lagu asas yang di ajar kepada pemain dengan menggunakan konsep asas ...
-
Perkataan ‘Gamel’ membawa maksud untuk tujuan memukul atau tukul tetapi masyarakat Jawa kemudiannya menggunakan perkataan tersebut bermaks...